Hari Jumaat adalah hari perayaan mingguan bagi seorang Muslim. Ia adalah hari perayaan meraikan ketaatan yang berjaya dilunaskan dalam masa seminggu yang lalu dan saat menanam azam untuk terus taat bagi seminggu yang akan datang. Ia adalah hari berhimpun kaum muslimin bagi bersilaturrahim dan hari nasihat-nasihat disampaikan.
Bagi pemburu syurga, hari Jumaat adalah “sneak preview” bagi suasana di syurga di alam akhirat kelak. Mana tidaknya, bagi penghuni syurga, hari Jumaat adalah hari mereka akan diizinkan bertemu Allah Ta’ala, kekasih yang dirindui sejak di dunia lagi!
Abdullah Ibn Masud r.a. berkata, Anas bin Malik r.a. berkata, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya di syurga ada sebuah bazar (suq dalam bahasa Arabnya) yang dikunjungi setiap Jumaat. Maka bertiup kepada mereka angin sejuk yang menyentuh wajah dan pakaian mereka dengan kasturi. Mereka pun semakin bertambah tampan dan indah. Mereka lalu kembali kepada isteri-isteri mereka yang menyambutnya denagn ucapan: “Kamu semakin tampan”. Mereka menjawab: “Kamu juga, demi Allah, semakin cantik dan indah” (HR Muslim)
Di dalam sebuah hadith yang panjang riwayat Imam Al Tirmizi da Ibn Majah, Rasulullah saw menjelaskan bahawa apabila ahli syurga memasuki bazar itu, mereka ditempatkan dalam majlis sesuai dengan amalan masing2. Di situ, mereka diizinkan menziarahi Allah ta’ala. Allah s.w.t kemudian menampakkan zatNya kepada mereka dan berbicara kepada mereka satu per satu. Baginda s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Tidak ada seorang pun yang berada dalam majlis itu melainkan akan diajak bicara oleh Allah s.w.t. Bahkan Allah s.w.t bertanya kepada salah seorang dari mereka: “Wahai si fulan, ingatkah engkau akan hari ini dan ini?” Allah mengingatkannya sebahagian dari dosa-dosanya di dunia. Orang itu segera berkata: ” Ya Tuhanku, bukankah engkau telah mengampuni dosa itu?” Allah menjawab : ” Ya, atas keluasan maghfirah-Ku, engkau berada di tempat ini.”
Nah, sewajarnya setiap individu Muslim mengamati peristiwa di atas dan mempersediakan dirinya dari saat ini, agar pertemuan yang dinanti2 itu, insyaAllah menjadi realiti!
Berikut adalah beberapa amalan yang sunat dilakukan pada hari Jumaat, bagi pemburu syurga..
1. Perbanyakkan selawat kepada Rasulullah s.a.w pada malam Jumaat dan pada siang Hari Jumaat. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Perbanyakkanlah selawat kepadaku pada hari Jumaat dan malam Jumaat. Sesiapa yang berselawat kepadaku satu kali maka Allah akan berselawat dan memberikan salam kepadanya sepuluh kali (HR Al Baihaqi)
2. Membaca surah Al-Kahfi pada hari jumaat atau malam Jumaat. Abu Sa’id meriwayakan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: ” Sesiapa yang membaca surah Al Kahfi pada hari Jumaat, maka ia akan diterangi oleh cahaya antara dua Jumaat (HR Al Nasa’i dan Al Baihaqi)
3. Mandi sunat, berhias, bersugi dan memakai wangian. Daripada Ibn Abbas, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: ” Sesungguhnya hari ini (Jumaat) ialah Hari Raya yang Allah jadikan untuk kaum Muslimin. Sesiapa yang mendatangi solat Jumaat, maka hendaklah ia mandi. Jika ia memiliki minyak wangi, maka hendaklah ia memakainya. Hendaklah pula kalian bersugi. (HR Ibn Majah)
4. Bersegera menghadiri solat Jumaat. Ganjaran bagi seseorang yang hadir awal pada solat jumaat dinyatakan dalam sebuat hadith dari Abu Hurairah r.a. dimana, seawal-awal mereka dikurniakan ganjaran seperti berqurban seekor unta, diikuti seekor lembu, seekor kambing, seekor ayam dan sesudahnya hanya seperti berqurban sebiji telur…
5. Berusaha untuk duduk dekat dengan imam semasa solat Jumaat. Samurah meriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w yang bermaksud: ” Hadirilah khutbah dan mendekatlah dengan imam. Sesungguhnya seseorang yang sentiasa menjauh (dari imam) akan diakhirkan tempatnya di syurga meskipun ia memasukinya (HR Abu Daud dan Al Hakim)